Petikan dari Utusan Malaysia
Terus cari peluang baru
Gambar ihsan ENFINITI VISION MEDIA
Sebagai pembantu kepada watak Nora lakonan Datin Seri Tiara Jacquelina, watak Betty yang sentiasa mengharap dan mendambakan kasih sayang daripada orang sekeliling itu membuatkan dia mudah disayangi oleh audiens.
Seharusnya sekalung tahniah layak diberikan kepada pemain watak tersebut, Stephanie Van Driesen yang telah menjiwai watak Betty dengan cemerlang sekali.
Bukan itu sahaja, Stephanie juga berjaya memukau audiens yang hadir dengan suara lunaknya tatkala menyampaikan lagu solo berjudul Kau Yang Menulis.
Sesungguhnya, Stephanie bukanlah nama baru dalam bidang seni persembahan negara kerana sebelum ini dia sudah membintangi beberapa pementasan teater muzikal.
Cuma apa yang membezakan apabila ini merupakan kali pertama Stephanie melibatkan diri dalam produksi berskala besar seperti Nora.
Bukan itu sahaja, satu kejayaan juga buat Stephanie apabila Nora merupakan pementasan teater muzikal berbahasa Melayu pertama yang dijayakan sepanjang hampir lima tahun aktif sebagai seorang bintang teater.
Dalam satu pertemuan yang berlangsung dalam penuh santai di IB lewat petang Selasa lalu, tiada perkataan yang dapat digambarkan oleh Stephanie apabila diminta mengulas tentang kejayaannya membintangi Nora.
“Tuah mungkin boleh datang dan pergi dalam hidup seseorang. Dalam konteks saya ini, saya lebih merasakan saya seorang yang berterima kasih dan bersyukur dengan peluang sebesar ini.
“Adalah menjadi impian untuk seorang penghibur seperti saya membintangi pementasan mega seperti Nora yang saya harap dapat membuka laluan yang lebih luas buat saya selepas ini.
“Apatah lagi dengan trek rekod cemerlang yang sudah dilakar oleh Enfiniti Vision Media (EVM) menerusi Puteri Gunung Ledang the Musical (PGLM) dan P. Ramlee the Musical (PRM) sebelum ini, saya gembira kerana dapat bersama-sama dengan mereka untuk melakar sebuah lagi kejayaan menerusi Nora,” kata Stephanie dalam nada penuh diplomasi.
Menyambung bicaranya, wanita yang memiliki personaliti yang cukup menyenangkan ini memberitahu Nora bukanlah tawaran pertama yang diterimanya daripada EVM.
Sebaliknya, dia pernah menjalani uji bakat dan hampir diterima untuk PRM bagi menjayakan watak kapten penari selain salah seorang daripada ensemble.
Namun, kerana ketika itu dia sibuk dan mahu menumpukan pengajiannya dalam bidang teater muzikal di LASALLE College of the Arts, Singapura, dia terpaksa melepaskan tawaran itu.
“Kata orang rezeki itu ada di mana-mana dan hanya waktu yang menentukan bilakah masa yang tepat akan hadir kepada kita. Bagi saya, soal wang ringgit bukan satu keutamaan tetapi kepuasan.
“Saya juga percaya dengan berkat kesungguhan dan kerja keras mampu memberikan habuan buat kita. Untuk mendapatkan watak Betty ini, saya juga sama seperti pelakon lain yang perlu melalui proses uji bakat.
“Walaupun Betty hanyalah sekadar watak pembantu, bagi saya ia bukanlah satu alasan untuk duduk bergoyang kaki dan tidak memberikan hasil yang terbaik.
“Hakikatnya, proses untuk membawakan watak Betty juga bukanlah semudah yang disangka memandangkan bahasa Melayu saya tidak fasih dan lancar,” kata Stephanie yang berusia 27 tahun ini sambil ketawa kecil dan pernah membintangi teater muzikal SHOUT! The Mod Musical bersama Ning Baizura, Nikki Palikat dan Tria tahun lalu.
Bercerita lanjut tentang watak Betty, sebaik sahaja mendapat tawaran tersebut, dia banyak belajar dengan penolong pengarah Nora iaitu Chedd Eddie Yusoff untuk menajamkan lagi bahasa Melayunya.
Bukannya dia tidak boleh bertutur dalam bahasa Melayu, tetapi memandangkan bahasa ibunda itu merupakan bahasa keduanya dalam pertuturan hariannya, maka, Stephanie akur kekurangannya itu.
Dengan kelas intensif yang disertainya untuk tiga sesi, anak sulung daripada tiga beradik ini ternyata berpuas hati dengan pencapaiannya sebelum tirai panggung dibuka.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1014&pub=Utusan_Malaysia&sec=Hiburan&pg=hi_01.htm
Original link here Utusan Malaysia Online - Hiburan
No comments:
Post a Comment