Tak tahu lah sejak bila dan kenapa saya tidak merasa keseronokan berhari raya AidilAdha. kemeriahannya tidak lagi seperti dahulu...
Dahulunya, memang AidilAdha pernah menjadi satu perayaan yang memang saya sekeluarga nanti-nantikan kerana sudah menjadi tradisi kami lebih-lebih lagi arwah abah dan mak kedua duanya anak jati Terengganu, kalau ada peluang kami akan kembali ke kampung halaman...
Masih teringat lagi dengan jelas, suasana sibuk arwah mak sibuk menyediakan segala macam bekal air dan makanan untuk dibawa dalam raga... Masih teringat kami sekeluarga berjalan membawa beg menyusuri jalan keretapi dari rumah kami menuju ke stesen keretapi Kuala Lipis yang letaknya hanya 2 kilometer dari kawasan perumahan kami... Teringat lagi suasana sejuk berkabus...
Saya tak lupa perjalanan keretapi menuju ke Kuala Kerai, terbayang bayang bunyi bertempo kechuk-kechak-kechuk-kechak ... Saya rindukan bunyi itu... Selalunya, hanya saya, adik yang ke3 Yusmin , arwah mak dan mak saudara (mak ngah timah) sahaja yang bersama didalam gerabak kerana kebiasaannya arwah abah berada didalam kepala lokomotif bersama kawan kawannya... (arwah abah semasa hayatnya berkerja sebagai pemandu lokomotif KTMB)... Semuanya kerana keadaan koc yang bersesak sesak kerana semua mahu pulang ke kampung halaman... Pernah sekali dua kami sekeluarga menumpang di koc belakang, koc paling belakang yang menempatkan barangan dan pegawai tiket . Semuanya kerana koc penumpang yang penuh, nasib baiklah arwah abah kakitangan KTM, kalau tak memang tak merasa nak balik kampung.
Antara lain yang masih segar diingatan ialah keadaan di stesen keretapi Gua Musang... Setibanya di sana, pelbagai juadah Kelantan dapat kami beli tanpa meninggalkan gerabak kami dapat memilih macam macam hidangan kerana jurujual akan berniaga di tepi gerabak dengan menjunjung hidangan yang siap dibungkus diatas kepala... Tak tau lah saya kalau situasi sebegini masih lagi ada disana...
Tetapi setiap kali kami sekeluarga pulang ke Terengganu melalui Kuala Kerai menggunakan keretapi ini, antara yang saya nanti-nantikan ialah perjalanan dari stesen Dabong ke Kerai kerana keretapi ini akan melalui rangkaian 6-8 terowong, mengasyikkan... Ada diantara terowong terowong ini hanya dihubungkan dengan jambatan... Indah sekali. Pengalaman sebegini hanya akan dapat kita rasa kalau kita naik keretapi....
Sampai di Kuala Kerai, arwah abah akan sibuk mencari kereta sewa untuk terus ke Kuala Terengganu. Maka berhimpit himpit la kami didalam kereta sewa yang kebiasaannya Mercedes Benz yang nyawanya dihujungkan tanduk hehe maka bermulalah perjalanan kami .... Saya ingat lagi yang saya sangat suka duduk ditepi tingkap kerana saya suka pada deru angin sepanjang perjalanan...
Sampai sahaja ke Kampung Losong Hj Mat Shafie, kebiasaannya pada hampir waktu maghrib disambut arwah tok dan adik saya yang kedua Yuslina yang selalunya akan malu malu dengan kami sekeluarga kerana Yuslina dibela tok untuk menjadi peneman... Selalunya sehari jugalah akan berlalu sebelum Yuslina akan mesra kembali bersama saya dan Yusmin... dan selalunya setiap kali sampai di Losong, sayalah orang pertama akan turun mandi di telaga belakang rumah tok... Seronok.... Sejuk... Rindu... Tetapi yang paling saya rindukan... Kuah singgang arwah tok yang dimasaknya diatas dapur arang...
Tapi itu dahulu... Hampir 30 tahun dahulu... Kini semua tinggal kenangan... Dan kenangan inilah yang saya kongsikan dengan semua kerana sememangnya saya amat rindu pada arwah mak dan abah... Tiada apa lagi yang dapat saya hadiahkan pada mereka kecuali al-fatihah. Terbit rasa berkongsi kerana raya ini sangat kosong buat saya, juga semasa maghrib semalam ketika memberi salam, saya terbayangkan arwah abah dan mak... Sungguh jelas bayangan mereka saya tak dapat menahan sedih rindukan mereka... bukannya saya tidak mahu beraya bersama adik beradik di Kuala Lipis, tetapi sejak malam Jumaat lagi badan ini kurang sihat jadinya hari ini dan semalam seharian saya terlantar diatas katil... Demam... Kosong... tahun ini saya beraya seorang... tahun depan... ?
Nasib baik ada internet, dapat juga berkongsi dengan kawan kawan yang ada. Seronok melihat anda semua beraya. Ada berbaju baru, ada yang sibuk makan itu ini, tak kurang juga status facebook masing masing yang risaukan berat badan dek kerana makan raya banyak... rezeki... Dengan ini, saya ucapkan selamat hari raya aidiladha buat semua... Sayangi pada yang ada, ingati pada yang tiada. AlFatihah.
Image Dari internet
No comments:
Post a Comment